Khamis, 11 Disember 2014

Pada suatu hari,ketika Rasulullah SAW sedang bersama beberapa orang sahabat, Baginda didatangi seoraang wanita kafir Quraisy. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah kepada Rasulullah SAW. Buah limau itu kelihatan sangat segar dan menyelerakan. Sesiapa yang melihatnya pasti terliur dan tidak sabar untuk memakannya.

Rasulullah SAW menerima hadiah tersebut dengan senyuman yang terukir di bibir. Sebagai tanda terima kasih Baginda kepada wanita Quraisy itu,Rasulullah SAW mengupas kulit limau itu dan kemudiannya makan di hadapan sahabat-sahabat dan wanita tersebut sambil tersenyum. Seulas demi seulas limau itu disuapkan ke mulut Baginda SAW dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Biasanya,Rasulullah SAW akan berkongsi makanannya bersama para sahabat yang lain. Namun,kali ini,tidak seulas pun yang diberikan kepada para sahabatnya. Rasulullah terus makan sambil tersenyum sehingga buah limau tersebut habis.

Sahabat-sahabat yang hairan melihat perlakuan Rasulullah SAW itu lantas bertanya sebab baginda tidak berkongsi buah limau yang mereka rasakan sungguh menyelerakan itu. Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu memberitahu bahawa buah limau yang dimakan oleh Rasulullah sangat masam dan baginda bimbang sekiranya sahabat-sahabat memakan buah itu,mereka akan memejamkan mata. Rasulullah SAW juga khuatir sekiranya ada antara sahabat yang memarahi wanita Quraisy kerana memberikan limau yang masam.Baginda tidak mahu wanita itu berasa tersinggung dana sebab itulah Baginda menghabiskan semuanya.

Wanita Quraisy itu pulang dengan penuh rasa kecewa kerana niatnya untuk mempermain-mainkan Rasulullah SAW tidak berjaya. Sebalaiknya Rasulullah SAW menghargai hadiah yang telah diberikan. Begitulah keperibadian Rasulullah yang sungguh terpuji dan mulia. Baginda tidak pernah memperkecil-kecilkan pemberian seseorang walaupun ia datang daripada seorang kafir dan hadiah itu bukanlah sesuatu yang elok.

Oleh itu,sifat menghargai sesuatu pemberian orang lain harus diterapkan dalam diri kita agar dapat menjadi seorang yang bersyukur. Jangan sesekali menjadi orang yang takbur seperti sabda Rasulullah SAW,
"Takbur itu ialah menolak kebenaran dan tidak menghargai orang lain".
(Hadis Riwayat Muslim)